Polis berkas ‘cicak’, pakar pecah rumah sekitar Melaka

Polis berkas ‘cicak’, pakar pecah rumah sekitar Melaka

ANTARA barangan kemas yang dipercayai hasil pecah rumah dilakukan suspek di sekitar Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan 22 kes pecah rumah di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah, sejak awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 42 tahun yang dikenali dengan gelaran ‘cicak’ itu ditahan kira-kira pukul 4.20 petang pada 16 Oktober lalu.

Ujarnya, hasil risikan membawa kepada penahanan suspek di sebuah hotel di Taman Angkasa Nuri di sini bersama barangan dipercayai milik mangsa pecah rumah termasuk barang kemas.

“Modus operandi digunakan oleh individu yang dikenali dengan panggilan ‘cicak’ itu adalah bergerak secara bersendirian dan menyasarkan rumah yang dipercayai tidak berpenghuni, sebelum bertindak memecah masuk serta mencuri barang berharga yang berada dalam rumah tersebut.

“Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sejumlah 22 kes pecah rumah di sekitar Melaka. Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati individu berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Menerusi operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 11 bentuk cincin emas, empat utas rantai leher emas, empat utas gelang tangan emas dan dua bentuk subang emas,” katanya.

Tambah Md. Nazri, semakan rekod lampau mendapati, suspek terlibat dengan 10 kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Ujarnya, lelaki itu direman selama 10 hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Rekod menunjukkan lelaki itu juga pernah terlibat dengan kes di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak, Seksyen 324 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita turut menemukan satu beg hitam yang di dalamnya mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.34 gram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya