ALOR GAJAH: Tindakan seorang peniaga kedai runcit menjual minyak masak peket bersubsidi satu kilogram kepada warga asing dan pengusaha kedai makan membawa padah selepas premisnya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, peniaga wanita itu disyaki menjual barang kawalan itu kepada kumpulan pengguna yang tidak dibenarkan dalam kuantiti banyak.
Jelasnya, ketika diserbu peniaga itu memberikan pelbagai alasan tetapi mengakui kesalahannya selepas disoal berulang kali oleh pegawai penguat kuasa.
“Kedai tersebut dipercayai telah beroperasi lebih dari 10 tahun. Wanita itu disyaki membenarkan warga asing dan premis kedai makan berhampiran membeli dalam kuantiti yang banyak sehingga 10 peket bagi setiap kali pembelian.
“Dia memberi alasan tidak sampai hati melihat warga asing merayu memintanya menjual minyak masak peket. Dia juga ‘terpaksa’ menjual kerana pelanggan telah membeli barang di kedainya dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika ditemui selepas Op Kita Gempur di Taman Mewah di sini, semalam.
Tambah Norena, pihaknya membuka satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap premis berkenaan.
Dalam pada itu, Norena berkata, KPDN sedang giat melaksanakan program pemutihan kedai runcit bagi mengesan ketirisan penjualan minyak masak peket bersubsidi.
Menurutnya, setakat ini empat kes telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan.
“Dua kes membabitkan kedai runcit dikendalikan warga asing dan satu kes melibatkan kedai makan yang dipercayai menggunakan minyak masak peket. Satu kes lagi peniaga disyaki melanggar arahan pegawai pengawal kerana menjual lebih daripada tiga peket.
“Sementara itu, pemutihan pemborong telah selesai dan berjaya menghasilkan lapan kes. Semua kes telah mengikut saluran yang betul sama ada kita bawa ke mahkamah atau dikenakan kompaun,” ujarnya. – UTUSAN