PDRM jawab fitnah IPD Melaka Tengah dijual

PDRM jawab fitnah IPD Melaka Tengah dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil menjawab fitnah disebarkan melalui platform TikTok dan Telegram berkenaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini, dipindahkan ke bangunan sementara di Batu Berendam kerana bangunan asal itu telah dijual.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, bangunan sementara itu mempunyai Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003, lantas menangkis dakwaan bahawa ia tidak selamat untuk diduduki kerana tidak mempunyai sijil berkenaan.

ZAINOL SAMAH

Jelasnya, bangunan di Banda Hilir telah digunakan sejak 1924 sebagai pejabat pentadbiran Kerajaan British sebelum diserahkan kepada polis pada 1948, yang mana usianya telah mencecah 100 tahun dan tidak lagi selamat untuk digunakan serta memerlukan kos tinggi bagi proses pembaikan.

Ujarnya, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah melakukan beberapa siri lawatan bagi melihat sendiri keadaan semasa di situ.

“Atas keprihatinan serta inisiatif Ketua Menteri, perkara ini telah disuarakan ke peringkat tertinggi dan hasilnya kerajaan telah bersetuju serta meluluskan penempatan sementara untuk IPD Melaka Tengah yang baharu.

“Di samping itu juga, cadangan pembinaan kompleks IPD yang baharu tetap diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) rolling plan kelima.

“Demi memastikan keselamatan warga PDRM serta keselesaan orang awam yang datang berurusan, kerajaan telah bersetuju untuk memindahkan operasi ke bangunan sementara sehingga menunggu kelulusan bagi pembinaan IPD Melaka Tengah yang baharu,” katanya.

Terdahulu, tular hantaran di kedua-kedua platform mendakwa, warga PDRM IPD Melaka Tengah telah dihalau keluar dari tempat lama kerana bangunan itu telah dijual.

Hantaran berkenaan turut mengaitkan nama Ab. Rauf dan mendakwa bangunan sementara tidak mempunyai CF dan mengalami pelbagai kerosakan antaranya lif, siling, paip dan sebagainya.

Tambah Zainol, bangunan sementara telah dibaik pulih hampir 96 peratus dijalankan oleh kontraktor dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dijadikan sebagai ruang pejabat.

Tegasnya, ekoran daripada penularan fitnah tersebut, satu laporan telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita-berita tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN