Op Global Melaka: 12 keping gambar Ashaari Muhammad, 138

Op Global Melaka: 12 keping gambar Ashaari Muhammad, 138 buku Al-Arqam disita

ANGGOTA penguat kuasa JAIM menyerbu premis GISBH di Krubong, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Op Global yang dijalankan ke atas 19 premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sekitar Melaka hari ini berjaya menyita sebanyak 285 barang kes antaranya 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak berkuasa turut merampas 138 buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah.

Ujarnya, selain itu sekeping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, sebuah diari catatan tentang ajaran Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam turut ditemukan.

“Operasi ini telah dilaksanakan ke atas 19 premis yang terdiri daripada tiga buah rumah persendirian, dua buah rumah kebajikan dan 14 buah premis perniagaan di seluruh Melaka yang mana pecahan mengikut daerah sebanyak 10 buah premis di Melaka Tengah, lapan buah premis di Alor Gajah dan sebuah premis di Jasin.

“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 15 lagi kanak-kanak diselamatkan pihak polis hasil serbuan di tiga premis berkaitan GISBH di Taman Ayer Molek Perdana, Masjid Tanah dan Kampung Nelayan, Kuala Linggi dekat sini antara pukul 2 hingga 3 petang, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kanak-kanak yang berjaya diselamatkan hari ini di sekitar Melaka adalah seramai 34 orang.

Tambah Rahmad, tangkapan dibuat ke atas 11 individu dewasa yang terdiri daripada tiga lelaki dan lapan perempuan berumur dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam serta memiliki bahan-bahan penerbitan berkaitannya.

Beliau turut mengesahkan, dalam serbuan pagi tadi, seramai 19 kanak-kanak berjaya diselamatkan dan dibawa ke rumah jagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ajaran Al-Arqam telah diharamkan melalui fatwa yang diwartakan di Melaka pada 1994 dan 2006.

“Kesalahan tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN