MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita serbuk timah seberat 5,000 kilogram (kg) yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk kegunaan sektor perindustrian tempatan, bulan lalu.
Pengarah Kastam Melaka, Nadzri Che Ani berkata, timah tersebut dibawa masuk dalam bentuk serbuk dan dibungkus dalam beberapa beg plastik.
Kata beliau, sindiket dikesan menggunakan laluan perairan negara berhampiran Mersing, Johor pada waktu pagi dengan menggunakan sebuah bot.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota bahagian penguatkuasaan kastam telah bertindak menyerbu sebuah lori jenis Hino pada 17 Ogos lalu. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 5,000 kg serbuk timah dipercayai barang tidak berkastam.
“Susulan itu, seorang pemandu lori bersama pembantunya masing-masing berusia 30-an dan 40-an ditahan selepas gagal mengemukakan bukti dokumen percukaian yang sah. Jumlah rampasan dan sitaan membabitkan sebuah lori dan serbuk timah dianggarkan berjumlah RM450,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar Bangunan Penguatkuasaan JKDM Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Nadzri berkata, pihaknya merampas sebuah kereta mewah jenama Lotus bernilai RM531,960 di sebuah pusat beli belah di Selangor, Julai lalu.
Menurutnya, kereta berwarna putih itu dipercayai diseludup dari Singapura untuk diedarkan dalam negara.
“Kenderaan tersebut diparkir selama tiga bulan di tempat letak kereta untuk mengelirukan pihak berkuasa. Bagaimanapun, pihak kastam berjaya mengesan dan menyita kereta tersebut, namun tiada suspek yang ditahan,” katanya.
Tambah Nadzri, pihaknya telah menumpaskan pelbagai kegiatan penyeludupan bernilai RM1.2 juta bagi tempoh Julai hingga September tahun ini. – UTUSAN