Isu IPD Melaka Tengah dijual: Tanah milik JKPTG, bukan kerajaan

Isu IPD Melaka Tengah dijual: Tanah milik JKPTG, bukan kerajaan negeri

BANGUNAN sementara IPD Melaka Tengah di Wisma Amanah, Batu Berendam, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui platform TikTok dan Telegram berkenaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini, dipindahkan ke bangunan sementara di Batu Berendam kerana bangunan asal itu telah dijual sebagai fitnah ‘dangkal’.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, adalah mustahil untuk tanah itu dijual kepada mana-mana pihak kerana ia tidak dimiliki kerajaan negeri, sebaliknya milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG).

Tegasnya, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini juga telah memutuskan bahawa bangunan itu bakal dijadikan sebagai muzium polis selepas dikosongkan sepenuhnya.

“Sebab tanah itu milik JKPTG, jadi bukan milik Kerajaan Negeri Melaka. Tuduhan bahawa Ketua Menteri sudah jual itu sangat-sangat dangkal. Yang kedua sebelum lagi isu ini tular, kerajaan negeri melalui exco (ahli MMKN), mesyuarat exco kita sudah putuskan bahawa jika bangunan asal itu kosong, kita hendak buat muzium polis.

“Kita hendak jadikan bangunan asal itu dan kita hendak baiki jadikan muzium polis, jadi tidak ada isu untuk kita jual kepada mana-mana pihak. Jadi saya rasa ini satu tuduhan yang sangat-sangat dangkal.

“Saya minta juga kepada pemimpin-pemimpin yang memainkan isu ini, menjadikan isu politik. Kalau boleh datang tengok sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di bangunan sementara IPD Melaka Tengah di Wisma Amanah, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil menjawab fitnah disebarkan berkenaan IPD Melaka Tengah dipindahkan ke bangunan sementara kerana bangunan asal telah dijual.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, bangunan sementara itu mempunyai Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003, lantas menangkis dakwaan bahawa ia tidak selamat untuk diduduki kerana tidak mempunyai sijil berkenaan.

Jelasnya, bangunan di Banda Hilir telah digunakan sejak 1924 sebagai pejabat pentadbiran Kerajaan British sebelum diserahkan kepada polis pada 1948, yang mana usianya telah mencecah 100 tahun dan tidak lagi selamat untuk digunakan serta memerlukan kos tinggi bagi proses pembaikan.

Terdahulu, tular hantaran di kedua-kedua platform mendakwa, warga PDRM IPD Melaka Tengah telah dihalau keluar dari tempat lama kerana bangunan itu telah dijual.

Hantaran berkenaan turut mengaitkan nama Ab. Rauf dan mendakwa bangunan sementara tidak mempunyai CF dan mengalami pelbagai kerosakan antaranya lif, siling, paip dan sebagainya.

Tambah Muhamad Akmal, pihaknya mengakui terdapat beberapa kekurangan dikesan semasa proses perpindahan antaranya aset-aset seperti perabot dari bangunan asal tidak lagi sesuai digunakan kerana terlalu uzur.

Katanya, bagaimanapun segala isu berbangkit akan diselesaikan secara berperingkat melalui pertambahan kelulusan peruntukan yang sudah berjumlah RM4.4 juta.

Ujarnya, mesyuarat MMKN hari ini juga bersetuju supaya laporan polis dibuat bagi menyiasat fitnah berkenaan.

“Melalui mesyuarat exco tadi juga kita minta kalau ada tuduhan-tuduhan sebegini, kita akan buat laporan polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN