MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat individu yang mengendalikan aktiviti rekreasi air banana boat kerana didapati melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, seorang jurumudi dan tiga pembantu berusia 16 hingga 19 tahun ditahan pada jarak kurang 0.1 batu nautika barat daya Pantai Pengkalan Balak, Alor Gajah dekat sini pada pukul 2 petang tadi.
Kata beliau, pihaknya menahan bot tersebut ketika sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Melaka.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen iaitu nama jurumudi tiada dalam lesen bot dan membawa lebihan kru dan pekerja.
“Bot berserta jurumudi dan kru ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah Mohd. Khairi, pengusaha bot dinasihatkan tidak mengambil sikap sambil lewa tentang keselamatan di laut terutama kepada pengunjung yang hadir bercuti di kawasan tersebut.
“Mereka dilihat seolah-olah mengambil remeh isu keselamatan pengunjung. Peraturan sedemikian ditetapkan supaya bencana atau bahaya berpunca daripada operator bot dapat dielakkan,” tegasnya. – UTUSAN