Polis buru wanita larikan gelang emas bernilai RM10,000

Polis buru wanita larikan gelang emas bernilai RM10,000

SUSPEK wanita yang dipercayai melarikan dua utas gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas di Arked Mara Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Dua suspek termasuk seorang wanita sedang diburu polis selepas disyaki melarikan dua utas gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas di Arked Mara Alor Gajah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pengadu dalam kes ini yang merupakan anak pemilik premis melaporkan, suspek wanita telah masuk ke dalam kedai dan berpura-pura ingin melihat gelang berkenaan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Pengadu telah serahkan seutas gelang yang ingin dilihat suspek dan kemudiannya menyerahkan seutas lagi gelang tangan lain.

“Suspek yang memegang dua gelang emas itu kemudiannya bangun dari kerusi dan terus berlari masuk ke dalam sebuah kereta Toyota Yaris di hadapan kedai. Seorang lagi suspek lelaki menunggu di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Tambah Ashari, ketika suspek bangun daripada kerusi, pengadu mendakwa terlihat sepucuk pistol disyaki pistol mainan dalam beg tangan dibawanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Empat cap jari telah berjaya ditimbulkan dan akan dihantar untuk pengesanan. Kerugian dialami sekitar RM10,000 melibatkan gelang tangan bentuk ‘kait satu stamping’, berat lebih kurang 15.83 gram (g) dan gelang tangan bentuk ‘dunhill vencon stamping’ anggaran berat 13.43 g,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN