Pasangan curi Milo bukan suami isteri - MAIM

Pasangan curi Milo bukan suami isteri – MAIM

KEDUA-dua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri 19 peket Milo di sebuah pasar raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menafikan alasan diberikan pasangan pesalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu lalu bahawa mereka mencuri 19 peket minuman malt coklat berjenama Milo dua kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh adalah untuk menampung kos rawatan dialisis ibu kepada tertuduh lelaki.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semakan mendapati status tertuduh wanita ialah isteri orang, manakala tertuduh lelaki merupakan kekasihnya.

Ujarnya, perkara itu disahkan setelah Skuad Agihan Zakat Cawangan Merlimau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melakukan lawatan ke rumah pesalah lelaki, semalam.

“Skuad kita telah ke rumah pesalah lelaki di Kampung Berangan Enam dan mendapati ibunya hanya menghidap kencing manis dan pesalah wanita bukanlah ahli keluarga tersebut.

“Pesalah wanita masih berstatus isteri orang, manakala suami sahnya merupakan penerima aktif bantuan MAIM bagi Bantuan Makanan Kecemasan (one-off), Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Saraan Anak Sekolah dan juga Bantuan Pakaian Sekolah berjumlah RM940 sejak 2018 hingga sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama 28 hari bersama denda RM3,000 kepada pasangan itu, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 19 peket minuman malt coklat berjenama Milo, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Peguam Nigel Tai merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya berbuat demikian bagi menampung kos rawatan dialisis ibu kepada tertuduh lelaki.

Hujah Nigel, pasangan itu yang bekerja sebagai penjual burger dan tukang urut juga perlu menanggung lima anak termasuk dua daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Tambah Rahmad, suami pesalah wanita memaklumkan, isterinya telah melarikan diri dari rumah untuk bersama kekasihnya iaitu pesalah lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya