Masih ada bahagian tubuh Allahyarhamah Istiqomah belum

Masih ada bahagian tubuh Allahyarhamah Istiqomah belum ditemukan

LOKASI penemuan mayat wanita berhampiran sebatang longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jenazah Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang ditemukan berhampiran sebatang longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini, pada 31 Disember 2023 belum boleh dituntut oleh warisnya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, proses bedah siasat telah selesai dilakukan namun beberapa bahagian tubuh mangsa belum ditemukan.

“Bedah siasat semua sudah selesai. Masih ada anggota badan yang belum dijumpai. Waris boleh menuntut jenazah selepas beberapa perkara diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, kehilangan seorang guru sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di Kampung Rimau disahkan sebagai Istiqomah.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu, mendapati ia sepadan dengan mangsa.

Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama JSJ IPK Johor telah menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak minggu lalu.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 6 Ogos hingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.

Hari ini, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada pukul 9.10 pagi.

Perintah sambung reman sehingga 18 Ogos ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN