Peniaga air tebu serang anggota JPJ sudah dikenakan tindakan

Peniaga air tebu serang anggota JPJ sudah dikenakan tindakan

TANGKAP layar video seorang lelaki menyerang anggota JPJ dalam kejadian pada November lalu di Taman Tasik Darul Aman, Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Video memaparkan seorang lelaki mengasari anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang tular di media sosial sejak semalam, berlaku pada 22 November lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata, individu berkenaan juga sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada 27 November.

Menurutnya, individu terlibat yang merupakan seorang peniaga air tebu berusia 24 tahun dipenjara sehari dan denda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Jitra.

“Kejadian berlaku pada pukul 4.04 petang di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra. Individu terbabit telah menyerang anggota JPJ bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat serta provokasi.  

“Ketika kejadian, anggota sedang melakukan rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaan mencurigakan. Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan pada kenderaan tersebut.

“Tiga kesalahan itu adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi klip video berdurasi 1 minit 24 saat yang tular di beberapa platform media sosial itu, anggota JPJ pada mulanya dilihat mengekori sebuah lori jenis Nissan dinaiki dua lelaki sebelum kenderaan itu berhenti di sebuah premis.

Dua lelaki kemudiannya turun daripada kenderaan tersebut sebelum salah seorang daripada mereka dilihat mengasari anggota JPJ terlibat.

Tambah Aman Shah, satu laporan polis telah dibuat anggota terlibat pada hari kejadian dan suspek ditahan serta didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dulu dengan mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Selain itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya