MELAKA: Mayat wanita dalam keadaan bogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibuang dalam tong sampah berhampiran sebatang longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang dekat sini pada 31 Disember lalu, bukan Mira Sharmila Samsusah, 34, atau Bella yang dilaporkan hilang di Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah mengesahkan, perbandingan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dijalankan menerusi ahli keluarga Bella dan satu lagi kes orang hilang di Gemencheh, Negeri Sembilan, namun keputusan diperoleh adalah tidak sepadan.
“Pemeriksaan lanjut polis mendapati satu badan disyaki perempuan berada dalam keadaan bogel tanpa anggota badan yang lengkap dan perbandingan sampel DNA bersangkut Batu Pahat (Bella) dan Gemencheh telah dijalankan menerusi ahli keluarganya, namun ia tidak sepadan.
“Spesimen DNA tersebut turut dihantar ke Bahagian D13 (Data Bank/DNA) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dibuat semakan dengan kes-kes lain yang dilaporkan.
“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan identiti si mati. Orang ramai yang mempunyai maklumat dipohon untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-5562222,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kehilangan Mira Sharmila yang juga seorang ibu tunggal sejak 14 Disember lalu kekal misteri, apabila penahanan teman lelakinya gagal merungkai kejadian itu.
Selepas ditahan sejak 25 Disember lalu, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu dibebaskan dengan jaminan polis apabila tempoh tahanan remannya berakhir.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengakui, lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan akan terus dijalankan. – UTUSAN