ALOR GAJAH: Sekujur mayat wanita dalam keadaan bogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibuang dalam tong sampah ditemukan orang awam berhampiran sebatang longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini, pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mayat yang ditemukan kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an ke 30-an.
Beliau berkata, pihaknya percaya anggota badan mangsa yang hilang adalah kerana dipotong manakala pencarian di lokasi kejadian tidak menemukannya.
“Mayat tidak cukup sifat itu telah ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis pada pukul 2 petang, Ahad lalu. Sepasukan pegawai bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Hospital Alor Gajah telah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
“Siasatan di tempat kejadian menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berbogel disyaki berusia sekitar 20-an hingga 30-an yang tidak cukup anggota badannya.
“Kita percaya kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki si mati telah dipotong. Anggota badan yang hilang bagaimanapun tidak ditemui di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Arshad, polis telah telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat itu sama ada mempunyai kaitan dengan dua kes orang hilang, namun hasil keputusan adalah negatif.
Ujarnya, lokasi penemuan mayat di tepi jalan raya yang terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah kosong.
“Saya minta kepada mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga terdekat mahupun individu dikenali atau mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi balai polis berhampiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN