ALOR GAJAH: Enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata menyasarkan pekerja kebun warga asing berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kesemua suspek berusia antara 13 sehingga 27 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Simpang Ampat di sini dan Sik, Kedah.
Beliau berkata, pada 4 Disember 2023 sekitar pukul 1.30 pagi, tiga mangsa warga Bangladesh mendakwa disamun lima lelaki bersenjatakan parang dan besi di rumah kongsi sebuah kebun sayur di Kampung Padang Kambing.
“Ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan oleh suspek yang menutup muka dengan baju.
“Suspek telah memukul seorang mangsa sehingga cedera menggunakan besi dan melarikan wang tunai sebanyak RM1,500 serta sebuah telefon bimbit.
“Pada hari sama pukul 4 petang, polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh memberitahu dia bersama dua rakannya disamun oleh lapan lelaki bersenjatakan parang serta buluh di rumah kongsi di sebuah kebun sayur di Melekek. Suspek telah melarikan wang tunai sebanyak RM7,200 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Arshad, pada 20 Disember 2023, seorang pengurus kebun membuat laporan memaklumkan pekerja warga Bangladeshnya cedera ditetak menggunakan parang dalam kejadian samun melibatkan enam lelaki di asrama pekerja di Jalan Kebus.
“Polis telah membuka kertas siasatan dan mengesan kesemua jenayah ini menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan pekerja kebun warga asing yang tinggal di asrama dalam kawasan pertanian.
“Kita menubuhkan pasukan khas untuk memberkas suspek dan tangkapan berjaya dibuat membabitkan enam suspek termasuk seorang remaja 13 tahun pada 15 dan 16 Januari lalu.
“Tiga suspek mengakui terlibat dalam ketiga-tiga serangan itu bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, manakala tiga suspek lain dibebaskan tanpa syarat,” katanya. – UTUSAN