ALOR GAJAH: Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah restoran mamak di Pusat Perniagaan Jelatang di sini yang menyembunyikan lebih 550 kilogram (kg) minyak masak peket dan gula bersubsidi terbongkar selepas lokasi itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kuantiti barang kawalan yang diseleweng itu mampu dimanfaatkan kira-kira 133 isi rumah.
Beliau berkata, dalam operasi pukul 1 tengah hari tadi, minyak masak peket dan gula berkenaan disorok dalam stor dan di bahagian bawah tangga manakala pemilik premis tidak mempunyai permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil maklumat disalurkan pengikut media sosial KPDN Melaka, kita berjaya mengesan dan merampas lebih 550 kg minyak masak serta gula pasir bersubsidi yang disorokkan di sebuah restoran.
“Mana-mana kedai makan tidak dibenarkan untuk menggunakan minyak masak dan gula peket ini kerana ia telah dikhususkan bagi isi rumah, bekalan yang dirampas hari ini sepatutnya dimanfaatkan bagi kegunaan 133 buah keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi.
Tambah Norena, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pengilang atau pemborong yang membekalkan minyak masak peket berkenaan.
Jelasnya, berdasarkan Peraturan 18 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kilogram perlu memiliki permit daripada KPDN.
“Pemegang permit juga hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi daripada pemborong berlesen yang sah,” ujarnya. – UTUSAN