JASIN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan kira-kira 23,000 pemandu kenderaan di negara ini berusia antara 16 hingga 35 tahun termasuk pelajar sekolah tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha berkata, masih ada ruang untuk mendidik mereka mengenai peraturan jalan raya sekiranya mendapat kerjasama ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah.
Jelasnya, ketika ini fasa advokasi amat penting untuk memberi penerangan di sekolah-sekolah mengenai keselamatan jalan raya.
“Memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan, mereka ini boleh didenda namun pada masa ini JPJ lebih tertumpu kepada program advokasi. Kita faham adik-adik ini ada masalah kenderaan dan sebagainya.
“Bagi mereka yang layak untuk memiliki lesen kita galakkan mereka untuk mengambil lesen secara sah.
“Saya percaya melalui program advokasi yang kita susun rapi, sistematik dan bersasar ia ada keberkesanan. Kita percaya peratusan ini akan menurun serta mereka sedar tentang kesalahan yang patut mereka patuhi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Zon Selatan 2023 di Pusat Kokurikulum Lanchang, Merlimau di sini, malam tadi.
Tambah Rospiagos, pelbagai program dianjurkan pihaknya termasuk perkhemahan Kadet JPJ memberi kesan kepada pelajar termasuk ibu bapa yang membenarkan anak-anak menggunakan kenderaan tanpa lesen.
“Dalam tempoh enam bulan ini, sasaran kita adalah untuk memperhebatkan program advokasi kerana kita percaya berdasarkan rekod yang lepas-lepas, program ini sangat berkesan terutama di sekolah-sekolah yang telah kita buat projek bersama.
“Pelajar yang menyertai Kadet JPJ secara tidak langsung akan menjadi ‘duta’ keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah kerana mereka menjadi jurucakap bagi membentuk disiplin dalam kalangan rakan-rakan mereka,” katanya. – UTUSAN