Polis bantuan ditahan, terlepas tembakan dalam bank

Polis bantuan ditahan, terlepas tembakan dalam bank

KEJADIAN berlaku di sebuah bank di Jasin, Melaka kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Padah cuai mengendalikan senjata api, seorang anggota polis bantuan ditahan selepas dipercayai secara tidak sengaja melepaskan tembakan di dalam sebuah bank di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, dua pelanggan wanita mengalami luka kecil pada bahagian paha dan betis manakala seorang pengawal keselamatan luka di telinga kanan akibat terkena serpihan lantai yang pecah.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima panggilan orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut kira-kira pukul 12.55 tengah hari.

KESAN tembakan yang dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang polis bantuan di sebuah bank di Jasin, Melaka.

Katanya, polis bertindak menahan suspek berusia 59 tahun itu dan merampas selaras senapang jenis Vinwinchester Model 1200 GA.2 3/4 Chamber Siri L 1207477 beserta satu kelongsong peluru.

“Polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan seorang polis bantuan telah terlepas tembakan di dalam bank dan tiga individu mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan lantai.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati insiden berlaku ketika anggota berkenaan cuba membetulkan kedudukannya semasa memegang senjata api sebelum tiba-tiba terlepas tembakan ke arah lantai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, ketika kejadian senjata api tersebut didakwa berada dalam keadaan tergantung di bahunya dan muncung berada di bawah menghala ke lantai.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku disebabkan kecuaian oleh pengendali senjata api sendiri.

“Anggota tersebut telah 13 tahun bekerja sebagai polis bantuan di sebuah syarikat perladangan. Suspek datang ke bank berkenaan bagi urusan gaji pekerja. Siasatan lanjut masih diteruskan dan suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya