MELAKA: Waris yang layak bagi memberi perlindungan sementara kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera ibu kandung dan rakan wanita itu di Pasir Gudang, Johor Jumaat lalu sudah dikenalpasti tetapi belum dimuktamadkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sudah menyenaraikan individu yang layak untuk menjaga kanak-kanak malang itu.
“Senarai itu sudah ada tetapi kita belum muktamadkan sehingga bila kanak-kanak itu keluar dari hospital, barulah kita akan muktamadkan. Buat masa ini kanak-kanak ini masih mendapat rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultan Ismail.
“Dia masih memerlukan rawatan lanjut kerana kesan kecederaan pada tubuh badannya dan kita akan pastikan dia pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Advokasi Anti-gangguan Seksual di Ayer Keroh di sini, hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/08/WhatsApp-Image-2023-08-14-at-3.01.29-PM-600x450.jpeg)
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera ibu kandung dan rakannya di kawasan Bandar Layangkasa.
Kejadian itu dimuat naik menerusi dua klip video masing-masing berdurasi 24 saat dan 32 saat dalam laman sosial Twitter dengan nama Cikgu Suraya pada pukul 6.02 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya yang juga warga asing berumur 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa.
Tambah Nancy, sejak dimasukkan ke hospital, keadaan mangsa dilaporkan stabil di bawah jagaan rapi hospital dan JKM.
Beliau turut mengakui, dalam usia tujuh tahun kanak-kanak itu mengalami trauma akibat penderaan dan usaha giat dijalankan bagi membantu mangsa memulihkan keyakinannya.
“JKM akan sentiasa menjaga mangsa bagi memastikan tiada gangguan lain dan memberi keyakinan kepada mangsa,” ujarnya. – UTUSAN