Pengguna jalan raya usia 15 hingga 25 tahun penyumbang tertinggi kemalangan

Pengguna jalan raya usia 15 hingga 25 tahun penyumbang tertinggi kemalangan

LOKMAN Jamaan turut memeriksa lesen memandu pengguna jalan raya ketika menyertai Op HRA 2023 di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Golongan muda berusia antara 15 hingga 25 tahun dikenal pasti menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan jalan raya termasuk melibatkan kehilangan nyawa yang kebanyakannya adalah penunggang motosikal.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, data itu menunjukkan tahap kesedaran golongan tersebut tentang keselamatan jalan raya masih rendah.

“Umur risiko yang tinggi adalah antara 15 hingga 35 tahun tetapi daripada kumpulan umur itu, risiko paling tinggi adalah pengguna berusia 15 hingga 25 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Hari Raya Aidiladha (HRA) 2023 di sini, malam tadi.

Lokman berkata, jumlah pengguna jalan raya terbanyak juga adalah daripada kumpulan umur 15 hingga 35 tahun dan pada masa sama statistik turut menunjukkan kes kemalangan membabitkan pengguna jalan raya berusia 35 tahun ke atas mulai menurun.

Menurutnya, program-program advokasi tentang kesedaran keselamatan jalan raya kepada golongan muda perlu diperhebat dari masa ke semasa.

Sementara itu, Lokman berkata, dalam tempoh tiga hari pelaksanaan advokasi dan Op HRA, pihaknya mengesan pemandu tegar yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, hasil pemeriksaan ke atas 55,904 kenderaan di seluruh negara.

“Kita mengeluarkan sebanyak 20,792 notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) (Akta 715).

“Dalam operasi tersebut, kita juga bertindak menyita 201 kenderaan kerana tiada perlindungan insurans, lesen memandu, kesalahan teknikal dan lain-lain,” jelasnya.

Katanya, menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), sebanyak 15,254 notis dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 4,743 notis kesalahan langgar lampu isyarat merah.

Tambahnya, dalam operasi terbabit juga, pihaknya menahan seorang pemandu bas ekspres di sebuah terminal di Lembah Klang kerana didapati mengambil bahan terlarang iaitu dadah jenis heroin.

“JPJ akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu terbabit termasuk penggantungan lesen di bawah Seksyen 36 atau 56 Akta 333.

“Pihak syarikat akan diaudit dalam Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ bagi melihat tahap kepatuhan yang dilaksanakan serta tindakan susulan seperti cadangan penggantungan atau pembatalan permit akan dikemukakan kepada APAD selepas siasatan lanjut selesai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya