Duit selalu dicuri, warga Nepal dipercayai bunuh rakan serumah

Duit selalu dicuri, warga Nepal dipercayai bunuh rakan serumah

LOKASI kes pembunuhan melibatkan seorang warga Nepal di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga Nepal direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara menggunakan sebatang kayu dan kabel telefon yang berlaku di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini, petang semalam.

Perintah reman sehingga 19 Julai ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap suspek berusia 20 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, soal siasat awal mendapati, suspek bertindak demikian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan dendam apabila mangsa dikatakan selalu meminjam duit, mencuri duit serta lambat membuka pintu apabila suspek pulang ke rumah.

Beliau berkata, mayat mangsa berumur 32 tahun ditemui majikannya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak berbaju di sebuah rumah kedai tiga tingkat di taman berkenaan, kira-kira pukul 6.42 petang.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati satu mayat lelaki warga Nepal dijumpai dalam tandas kediamannya dalam keadaan tidak berbaju.

“Polis turut menjumpai sebatang kayu dan kabel telefon berhampiran dengan mayat tersebut. Hasil maklumat orang awam, polis dapat mengenal pasti lokasi suspek yang terlibat seterusnya telah menangkapnya dalam sebuah bas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas Linggi pukul 11.30 malam, semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa dan suspek bekerja di tempat sama sebagai pembantu di sebuah restoran.

“Ketika diberkas, suspek dipercayai sedang dalam perjalanan untuk melarikan diri ke utara tanah air,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya