RM245,000 hangus angkara kontraktor penipu

RM245,000 hangus angkara kontraktor penipu

AHMAD Fuad (kiri) menunjukkan resit RM15,000 yang dibayar kepada sebuah syarikat sambil diperhatikan Che Din di Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pesara menanggung kerugian sebanyak RM245,000 apabila diperdaya sebuah syarikat membuat pelan dan membina rumah banglo.

Mangsa, Che Din, 55, berkata, hasratnya untuk mendiami banglo idaman musnah selepas menyedari syarikat terlibat tidak membuat sebarang binaan di tanah miliknya di Muar, Johor.

Menurutnya, dia mula berasa ditipu setelah pegawai pemasaran dan pengarah urusan syarikat gagal dihubungi selepas membuat pembayaran bernilai RM15,000 bagi pelan rumah dan RM230,000 untuk proses pembinaan peringkat pertama.

“Apabila syarikat terbabit gagal dihubungi serta melalui aplikasi WhatsApp tidak dijawab, saya mula curiga dan berasakan diri telah ditipu. Susulan dari itu saya telah membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam tengah hari semalam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Tambah Che Din, dia terpedaya apabila melihat satu iklan dalam laman sosial Facebook berkenaan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan membina rumah banglo pada 14 April 2022.

Katanya, satu pertemuan dengan pegawai pemasaran syarikat itu telah diadakan di pejabat cawangannya di Taman IKS Merdeka, Batu Berendam.

“Setelah persetujuan dibuat, saya telah membawa pegawai itu ke rumah saya di Muar, Johor pada 22 April 2022 bagi melihat tapak pembinaan rumah banglo yang dijanjikan. Syarikat itu kemudiannya telah meminta membuat pembayaran RM15,000 bagi tujuan dokumentasi pelan sebelum menandatangani kontrak pembinaan rumah banglo.

“Pada 10 Ogos 2022 saya menerima pesanan khidmat ringkas (SMS) meminta menjelaskan segera bayaran fasa pertama keseluruhan berjumlah RM230,000,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM15,000 ditipu syarikat sama bagi membuat pelan rumah.

“Mengikut perjanjian asal pelan rumah dijangka siap dalam tempoh empat bulan selepas bayaran dibuat pada 22 Ogos 2023. Namun setelah bayaran dibuat pegawai pemasaran syarikat itu mula membuat pelbagai alasan dan akhirnya tidak dapat dihubungi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya