Dua penunggang motosikal maut kemalangan - Utusan Malaysia

Dua penunggang motosikal maut kemalangan

KEADAAN salah sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Marang, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Kilometer (KM) 50 dan KM 19, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pertama, mangsa Muhamad Khalis Zuki, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta tiang elektrik di Jambu Bongkok pada pukul 7 malam.

Katanya, kemalangan itu berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pemandu pemandu perawat kesihatan Klinik Kesihatan Kuala Abang, Dungun menunggang motosikal jenis Y15 ZR dalam perjalanan dari Gong Balai menghala balik ke rumahnya di Kuala Abang, Dungun.

“Mangsa yang cedera parah disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Zain memberitahu, kejadian kedua pula, mangsa, Wan Shahril Izwan Wan Mohd. Kamalrubahrum, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 ZR merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki tiga sekeluarga dari Kulim, Kedah dipercayai membuat pusingan U di Seberang Marang pada pukul 9.13 malam.

Katanya, mangsa dari Kampung Batu Putih, Gong Beris, Marang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 10.30 malam.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu seorang guru dari arah Kuala Terengganu telah berhenti di sebuah kedai dan kemudian membuat pusingan U untuk menghala semula ke arah Kuala Terengganu.

“Ketika itu datang sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke arah Kuantan telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta berkenaan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HSNZ untuk menerima rawatan sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam,” ujarnya.

Menurutnya, tiga sekeluarga berusia 18 hingga 54 tahun yang menaiki kereta tidak mengalami kecederaan.

“Kedua-dua kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya