Lambakan barangan tiruan di kawasan pelancongan Melaka

Lambakan barangan tiruan di kawasan pelancongan Melaka

NORENA Jaafar (tengah) menunjukkan barangan tiruan berjenama terkenal yang disita dalam sidang akhbar di Stor KPDN Melaka, Krubong, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para peniaga di kawasan tumpuan pelancong sekitar negeri ini diingatkan agar tidak menjual produk tiruan berjenama terkenal bagi mengelakkan mereka diambil tindakan berupa denda sehingga RM20,000 untuk setiap barangan berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, melalui operasi yang dijalankan di empat premis sekitar Melaka Tengah di sini, pihaknya berjaya menyita pelbagai barangan tiruan berjenama Hermes iaitu melibatkan 32 pasang kasut, 25 pasang selipar dan 13 utas tali pinggang.

Beliau berkata, nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM3,224 dan turut ditahan empat individu dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Walaupun anggaran ini kecil (nilai sitaan) tetapi kita ingin mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha ataupun pemilik-pemilik premis perniagaan untuk tidak mengguna pakai jenama berjenama terkenal.

“Kerana mereka mempunyai pemilik cap dagang yang akan sentiasa bersama-sama dengan kami membuat pemantauan dan pemeriksaan. Kita mohon untuk mereka tidak mengulangi ataupun jangan sekali-kali jalankan aktiviti barangan tiruan ini di premis.

“Kita mohon terutama peniaga di kawasan tumpuan pelancong tolong jangan jual barangan tiruan sebab KPDN menerima aduan yang sangat membimbangkan sebab banyak barangan tiruan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor KPDN Melaka, Krubong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan bekalan gula di negeri ini, Norena memaklumkan, wujud isu kekurangan di beberapa lokasi sekitar Melaka, namun ia dilihat tidak memberikan kesan langsung kepada pengguna.

Jelasnya, kekurangan didapati berlaku disebabkan pengeluar dari Johor mengurangkan bekalan kepada pembekal, seterusnya mengakibatkan stok yang diperoleh peruncit sedikit berkurang daripada kebiasaan.

“Macam selalunya kalau setiap pemborong itu dapat contohnya 30 tan, mungkin pengeluar kurangkan bilangan kepada 22 tan atau 27 tan. Kerana itu pengurangan akan berlaku di peringkat peruncit,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN