MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan berjumlah RM6.5 juta bagi tempoh Disember 2022 hingga Mei tahun ini.
Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, rampasan terbesar membabitkan enam buah kontena mengandungi 131,232 liter minuman keras pelbagai jenama pada 2 Disember 2022.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan itu termasuk duti dianggarkan berjumlah RM3.64 juta.
“JKDM Melaka dengan bantuan anggota cawangan risikan zon selatan telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras membabitkan enam kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor.
“Pemeriksaan awal mendapati kontena tersebut yang dieksport ke China akan transit di Johor sebelum diimport ke Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah. Kesemua kontena itu diimport menggunakan beberapa nama syarikat dan alamat yang tidak wujud.
“Barang dagangan diisytiharkan sebagai peralatan perabot. Setelah pemeriksaan fizikal dijalankan terdapat muatan minuman keras pelbagai jenama yang dilapiskan dengan bungkusan tisu ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma JKDM Melaka di sini, semalam.
Tambah Norlela, rampasan kedua terbesar melibatkan 3.2 juta batang rokok dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM2.13 juta.
Menurutnya, kastam berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok menggunakan sebuah lori jenis Isuzu di Besut, Terengganu pada 9 Januari lalu.
“Rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui sungai di Kawasan Kampung Raja, Besut sebelum dimuatkan dalam lori. Pasukan serbuan telah mengejar dan menahan lori tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati rokok yang dimuatkan dalam lori berkenaan adalah tidak berkastam. Bagaimanapun, pemandu lori berjaya melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran semasa pasukan cuba untuk menangkapnya,” ujarnya. – UTUSAN