MELAKA: Seorang pakar pecah kenderaan yang mempunyai 32 rekod jenayah berkaitan kegiatan itu sejak 1997 bersama rakan subahatnya diberkas polis dalam dua serbuan di Selangor.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 40 tahun itu bersama seorang lagi suspek berumur 30 tahun ditangkap di Puchong pada 1 April lalu dan di Petaling Jaya, semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Beliau berkata, operasi digerakkan berikutan satu laporan kes pecah rumah melibatkan kerugian RM2,000 di Taman Gadong Perdana di sini, 30 Mac lalu.
“Bertindak atas maklumat, dua lelaki berjaya diberkas di Selangor termasuk dalang yang menjalankan sindiket pecah rumah jenis teres setingkat.
“Polis turut merampas telefon bimbit, pakaian dipakai suspek, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah, alatan pecah rumah dan resit jual beli barang kemas bernilai kira-kira RM15,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, kejayaan memberkas kedua-dua suspek berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Melaka Tengah.
Jelasnya, semakan lanjut mendapati, dalang berkenaan mempunyai 32 rekod jenayah berkaitan pecah kenderaan dan satu kes dadah sejak 1997.
“Empat kes dilakukan oleh dalang ini secara solo dan satu kes bersama rakan sejenayah. Kedua-dua suspek yang berasal dari Klang dan Johor Bahru, Johor juga mempunyai satu kes pecah rumah di negeri itu.
“Kedua-dua mereka kini direman sehingga 6 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah, jika sabit kesalahan pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat,” jelasnya. – UTUSAN