[Sidang DUN Melaka] Tubuh pasukan khas tangani judi siber

[Sidang DUN Melaka] Tubuh pasukan khas tangani judi siber

SULAIMAN Md. Ali menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas dengan penglibatan pelbagai pihak untuk mengawal dan membendung aktiviti judi dalam talian.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 501 serbuan, 513 tangkapan dan 516 rampasan perkakasan seperti komputer, telefon pintar serta wang tunai berjumlah RM107,614, sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, Melaka Tengah menjadi daerah tertinggi terlibat dengan aktiviti judi siber berdasarkan jumlah rampasan, serbuan dan tangkapan diikuti Alor Gajah dan Jasin.

“Statistik menunjukkan di kebanyakan daerah jumlah tangkapan yang dibuat melebihi jumlah serbuan yang dilaksanakan. Hal ini menunjukkan keberkesanan usaha penguatkuasaan yang dijalankan PDRM.

“Justeru, perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini adalah dengan menubuhkan pasukan khas yang dianggotai PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta lain-lain agensi.

“Laporan penguatkuasaan dan tindakan yang diambil jabatan dan agensi yang terlibat dalam pasukan khas akan dibentang untuk mengkaji semula keberkesanannya. Antara perancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah judi siber seperti kempen kesedaran secara besar-besaran termasuk di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai perancangan mewujudkan pasukan khas bagi menangani judi siber yang berleluasa di Melaka dan di DUN Kuala Linggi.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) sama ada inisiatif berkenaan akan dikembangkan ke pelbagai peringkat, Sulaiman berkata, ia akan diperluaskan ke peringkat daerah membabitkan semua agensi.

Katanya, peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga bakal dilibatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya