MELAKA: Sindiket tabung khairat palsu yang didapati menggunakan nama pusat tahfiz dan madrasah tidak wujud semakin aktif di negeri ini dengan menyasarkan restoran, stesen minyak dan kedai runcit sebagai lokasi menempatkan tabung haram berkenaan.
Operasi Tanggal yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sekitar Melaka berjaya merampas 50 tabung palsu mengikut Seksyen 94 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan) 2022.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, sebarang kutipan khairat melalui tabung perlu dibawa sendiri oleh pemungut, di samping wajib terlebih dahulu menunjukkan Kad Kuasa Pungutan dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada orang awam.
“Hasil siasatan lanjut kita dapati ada di antara nama pertubuhan atau madrasah yang tertera di tabung tersebut tidak wujud dan apabila kita hubungi nombor telefon tertera ia tiada dalam perkhidmatan.
“Kita merampas 50 tabung kutipan derma yang ditinggalkan di premis-premis termasuk kedai makan, stesen minyak dan pasar raya di seluruh Melaka kerana telah ditinggalkan.
“Menjadi satu kesalahan kerana tabung itu sepatutnya dibawa oleh pemungut itu sendiri dan mereka perlu menunjukkan Kad Kuasa Pungutan MAIM kepada orang awam sebelum membuat kutipan,” katanya dalam sidang akhbar di Ayer Keroh di sini, semalam.
Tambah Che Sukri, sebanyak 35 tabung dirampas di sekitar daerah Melaka Tengah, lima di Alor Gajah dan enam di Jasin.
Jelasnya, mana-mana pemilik premis yang membenarkan tabung itu ditinggalkan turut dikenakan tindakan mengikut enakmen sama.
“Jadi kita nasihatkan kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan agar memeriksa kad kuasa pemungut terlebih dahulu atau menderma secara terus kepada masjid dan surau,” katanya. – UTUSAN