Selipar, kasut tiruan bernilai RM85,710 dilupuskan

Selipar, kasut tiruan bernilai RM85,710 dilupuskan

NORENA Jaafar memasukkan kasut ke dalam mesin untuk dilupuskan pada program pelupusan eksibit di Stor KPDN, Krubong, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka melupuskan 4,277 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama bernilai RM85,710.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, barangan tiruan itu disita pada 2022 dan pemiliknya telah dikompaun sebanyak RM55,000 oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut beliau, selipar dan kasut tiruan itu dikategorikan sebagai greb B dan disasarkan kepada pembeli sempena musim perayaan.

“Barang rampasan disita berdasarkan intipan daripada pemilik cap dagang dan juga pihak penguatkuasa KPDN Melaka. Modus operandi sindiket ini adalah menjual kasut dan selipar tiruan berjenama Nike dan Adidas melalui platform dalam talian sempena musim perayaan.

“Kita mengesan pemilik menyimpan stok di kawasan perumahan persendirian berpagar dalam daerah Melaka Tengah. Ini merupakan salah satu trend yang kerap dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Barang rampasan dikategorikan gred B yang mana terdapat perbezaan ketara daripada segi harga. Contohnya selipar dan kasut tiruan dijual antara RM10 dan RM60 sepasang berbanding harga asal RM400 hingga RM500 sepasang, bergantung kepada rekaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program pelupusan eksibit di sini hari ini.

Tambah Norena, KPDN Melaka telah melupuskan barangan sitaan melibatkan 46 kes yang terdiri daripada pelbagai akta diwartakan bernilai RM587,065 pada 2022, menurun berbanding tahun sebelumnya dengan 63 kes membabitkan nilai RM593,942. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya