MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) menggagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis hasil pertanian yang disorok dalam bagasi pakaian, semalam.
Pengarah Maqis Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, perbuatan itu dikesan dilakukan segelintir penumpang feri dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia semasa pemeriksaan di Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka di sini.
Menurutnya, antara hasil pertanian yang dibawa masuk seperti cili segar dan limau.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati terdapat penumpang feri cuba membawa masuk hasilan pertanian seperti cili segar dan buah limau. Barang disembunyikan dalam bagasi pakaian bagi mengaburi mata pegawai penguatkuasa.
“Susulan itu, pegawai Maqis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import Maqis dan Sijil Fitosanitasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Nora Dinah, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran hasil pertanian tanpa Permit Import Maqis adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta sama.
Katanya, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis menasihatkan agar semua penumpang feri dari negara luar yang ingin membawa masuk produk-produk pertanian perlu sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN