Banduan warga asing maut kerana roti

Banduan warga asing maut kerana roti

KOMPLEKS Penjara Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara tidak dapat makan roti, seorang banduan di Kompleks Penjara Sungai Udang di sini bertindak ganas membelasah rakan selnya hingga mati.

Mangsa, warga Indonesia berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.28 petang semalam selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pergaduhan berlaku pada pukul 2.15 petang 17 Februari lalu, selepas suspek yang berusia 34 tahun mengesyaki mangsa mengambil roti diberikan pihak penjara.

Menurutnya, suspek kemudian bertanya kepada mangsa tetapi dijawab secara kasar menyebabkan suspek berang lalu memukul mangsa.

“Semasa kejadian pintu bilik terbuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan semua banduan sedang menjalani aktiviti riadah bebas. Suspek dan mangsa berada dalam bilik yang sama.

“Hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan mangsa mengambil makanan yang diberikan pihak penjara kepada suspek yang mana tindakan itu menyebabkan suspek tidak mendapat makanan.

“Suspek yang baharu sahaja solat telah didatangi mangsa. Ketika berbual, suspek bertanyakan kepada mangsa kerana melihat dia mengambil roti. Mangsa tidak mengaku dan menjawab dengan nada yang tinggi menyebabkan suspek terus memukul mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Christopher, suspek yang sedang menjalani hukuman penjara sejak Mac 2016 mengaku telah menumbuk bahagian sebelah mata dan pipi kanan mangsa sehingga kepala terhantuk pada dinding.

Katanya, suspek turut memijak menggunakan tumit pada bahagian peha dan menendang dada mangsa.

“Setelah mangsa terbaring, suspek mengangkat mangsa dan menghumban mangsa ke dalam bilik air. Warden penjara hanya menyedari kejadian itu setelah pergaduhan selesai. Saksi pergaduhan adalah seorang lelaki warga Nigeria yang kebetulan lalu di hadapan sel mangsa.

“Mangsa yang masih sedar kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan. Mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, benjol di kepala kiri serta luka di bahagian mata dan telinga kiri.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 6.28 petang semalam, mangsa disahkan meninggal dunia setelah tujuh hari menerima rawatan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya