MELAKA: Kegiatan beberapa pusat hiburan tidak berlesen yang turut menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing di Bandar Melaka di sini tumpas, apabila diserbu Jabatan Imigresen, kelmarin.
Seramai 17 GRO pelbagai warganegara dicekup ketika sedang leka melayan pelanggan dalam operasi selama 12 jam berakhir pukul 1 pagi itu.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee berkata, kesemua GRO berkenaan antara 23 individu ditahan termasuk seorang lelaki warga tempatan disyaki ejen kepada gadis warga asing terlibat.
Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil aduan orang awam mengenai kegiatan GRO yang semakin aktif bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Hasil serbuan di dua buah pusat hiburan dan sebuah refleksologi, kita berjaya menahan 23 individu termasuk 17 GRO berusia antara 20 hingga 30 tahun serta seorang lelaki warga tempatan dipercayai ejen berusia 30-an.
“Kita percaya GRO ini diuruskan oleh ejen dan akan bergerak mengikut lokasi yang mempunyai permintaan tinggi, mereka ini bergiat aktif pada hujung minggu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Anirwan, kesemua ditahan dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas atau permit.
“Mengikut pecahan warga asing yang ditahan terdiri daripada 12 warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Laos (satu), China (tiga) dan baki adalah Indonesia.
“Ketika pemeriksaan lanjut ke atas sebuah premis kafe hiburan turut mendapati, ia beroperasi tanpa lesen yang sah. Premis itu beroperasi dalam keadaan mencurigakan di mana pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga di luar premis berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN