Ditangkap khalwat tiga hari sebelum konvokesyen

Ditangkap khalwat tiga hari sebelum konvokesyen

PASANGAN kekasih yang ditangkap khalwat dalam serbuan di sebuah hotel di Ujong Pasir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Alasan ingin berehat sebentar selepas penat melakukan urusan pengambilan jubah bagi majlis konvokesyen pada Selasa ini tidak berhasil, apabila seorang graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini ditangkap khalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi.

Pemuda berusia 22 tahun itu dan kekasihnya berumur 26 tahun merupakan antara enam pasangan dicekup sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi khalwat di sekitar Ujong Pasir, kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, mereka ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan dan turut mengakui tiada ikatan yang sah.

“Ketika serbuan dilakukan, wanita itu telah membuka pintu bilik dan mendakwa kononnya menginap bersama rakan perempuan, namun apabila diperiksa terdapat seorang lelaki bersembunyi di bawah selimut dengan hanya memakai seluar pendek.

“Hasil soal siasat pasangan itu adalah kekasih dan si lelaki memberikan alasan bermalam di situ kerana penat mengambil jubah untuk majlis konvokesyen dijadualkan pada Selasa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tamat pukul 4 pagi.

Tambah Che Sukri, JAIM turut menahan seorang wanita berstatus isteri orang berusia 37 tahun bersama seorang lelaki berumur 40 tahun.

“Wanita tersebut memberitahu telah bercerai dengan suaminya, namun hasil semakan nombor kad pengenalan secara dalam talian mendapati, dia masih berstatus isteri orang. Kekasihnya juga telah berkahwin dan mendakwa dalam proses penceraian,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat JAIM untuk disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan Seksyen 53 (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya