KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap seorang buruh atas kesalahan amang seksual fizikal kepada anak tirinya pada 2019.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas menolak rayuan tertuduh yang berusia 42 tahun terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Januari lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap anak tiri perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Pulau Rusa, di sini pada 6 Jun 2019.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh disabitkan kesalahan iaitu 26 Januari lalu selain menambah perintah pengawasan setahun lagi.
Dalam prosiding berasingan, hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap seorang bekas pelajar institut kemahiran turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Datuk Hassan mengekalkan hukuman itu ke atas Mohamad Khairin Safwan Khairul Azman, 24, bermula tarikh disabitkan kesalahan, 15 April lalu serta perintah pengawasan juga selama setahun.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Kampung Losong Megat Hussein pada 25 Januari 2019. – UTUSAN