GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di 13 kerusi Parlimen di negeri itu hari ini apabila tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku melibatkan penyokong-penyokong parti.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau turut meninjau proses penamaan calon di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan mendapati penyokong-penyokong parti politik menyokong perjalanan demokrasi di negara ini.
”Kita amat berpuas hati sepanjang proses penamaan calon, semua calon dan penyokong memberikan kerjasama yang baik.
”Tidak ada insiden yang berlaku hari ini dan kita menyeru semua pihak membantu polis dengan memastikan pilihan raya kali ini berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, setakat ini polis hanya menerima satu laporan kesalahan berkaitan pemasangan bendera dan satu kertas enkuiri polis (KEP) telah dibuka berhubung laporan itu.
Ujar beliau, kes itu akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkenaan.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis kontinjen Pulau Pinang telah menggerakkan seramai 1,997 pegawai dan anggota sepanjang proses penamaan calon merangkumi penugasan pusat kawalan PRU15, kawalan keselamatan dan aliran trafik di pusat-pusat penamaan calon.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan kesemua calon yang bertanding memohon permit daripada pihak polis sekiranya mahu mengadakan ceramah atau program-program berkaitan pilihan raya. – UTUSAN