PADANG BESAR: Seorang pelajar kolej dipercayai merogol seorang pelajar perempuan di bawah umur sehingga melahirkan anak.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, maklumat mengenai jenayah tersebut terbongkar selepas mangsa berusia 16 tahun melahirkan seorang anak di Hospital Tengku Fauziah (HTF) di sini, kelmarin.
Katanya, pihak polis menerima laporan itu daripada pegawai perubatan HTF.
“Susulan laporan, pihak polis merakam percakapan mangsa dan memaklumkan dia selamat melahirkan bayi pada 29 Mei dan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Padang Besar.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa menjalinkan hubungan seks dengan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan berusia 25 tahun dan masih belajar di sebuah kolej swasta di Shah Alam, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shokri, kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik di Jalan Kaki Bukit, Beseri pada Oktober 2021.
Katanya lagi, mangsa kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah klinik swasta dan didapati telah mengandung tujuh minggu.
“Perkara ini tidak dimaklumkan mangsa kepada ahli keluarga sehingga bayi tersebut selamat dilahirkan di HTF. Hasil siasatan, pihak polis telah mengenal pasti suspek dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mohd. Shokri turut menasihatkan orang ramai memantau setiap pergerakan anak-anak dan mengambil tahu laman sosial yang menawarkan perkhidmatan mencari jodoh atau janji temu agar tidak mudah ditipu seterusnya mengelakkan perkara tidak diingini.
Polis Padang Besar juga meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kes tersebut melalui talian 04-949 2222 atau 04-949 1481. –UTUSAN ONLINE