6 suspek kes pecah rumah di beberapa negeri ditahan  - Utusan Malaysia

6 suspek kes pecah rumah di beberapa negeri ditahan 

RAHIMI RA'AIS (tiga dari kanan) dalam sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan geng pecah rumah di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam 14 kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Kedah dalam operasi berasingan di Kulim, Kedah dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesemua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 34 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini.

Malah, kesemua mereka yang berasal dari Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu mempunyai antara dua hingga 45 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah pecah rumah dan dadah serta dipercayai mula membentuk kumpulan ketika berada di penjara.

Selain itu, salah seorang daripada suspek juga berada dalam senarai dikehendaki  polis Selangor kerana terbabit dalam kes jenayah membabitkan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang ejen pelaburan berusia 61 tahun mengenai kejadian pecah rumah di kawasan Air Itam, di sini pada 26 Februari lalu membabitkan kerugian bernilai RM50,000.

“Susulan laporan ini, pada 25 Mac lalu, kita menahan empat lelaki warga tempatan di sebuah rumah di Kulim, Kedah yang menjadi ‘port lepak’  ahli kumpulan ini menerusi Op Pintu Mutiara.

“Kemudian, pada 30 Mac, dua lelaki tempatan ditahan di Kuala Lumpur termasuk dalang kumpulan ini yang berusia 45 tahun yang mempunyai 42 rekod jenayah membabitkan pecah rumah dan tiga rekod membabitkan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Rahimi, modus operandi kumpulan itu adalah menjalankan kegiatan pecah rumah secara terancang dengan menyasarkan rumah yang didiami warga emas dan tinggal berseorangan di kawasan bandar.

“Suspek yang antaranya bekerja sebagai kontraktor, penjual pakaian online, mekanik dan pengecat kereta akan menggunakan peralatan seperti kuku kambing, pengumpil mangga dan lain-lain.

”Tiada mangsa dicederakan oleh suspek sepanjang mereka menjalankan kegiatan jenayah pecah rumah ini,” katanya.

Tambahnya, polis percaya dengan penahanan enam suspek itu, lapan kes pecah rumah di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM200,000 berjaya diselesaikan dan enam lagi kes adalah di Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur. 

“Menerusi operasi ini, kita merampas dua buah kereta, 12 unit telefon bimbit, 11 utas jam tangan, beberapa keping wang tunai serta mata wang asing dan pelbagai peralatan pecah rumah.

“Kes disiasat di bawah  Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, katanya, polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam kumpulan terbabit dan salah seorang daripada mereka bernama Lo Bin Son atau nama gelarannya Vincent berusia 39 tahun. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN