SUNGAI PETANI: Seorang lelaki memberi alasan mengalami halusinasi selepas dia ditahan polis kerana melastik ke arah sebuah lori di lampu isyarat Amanjaya arah Sungai Lalang di sini semalam.
Difahamkan sebelum itu, terdapat satu rakaman video berdurasi 29 saat yang tular dalam media sosial menunjukkan tindakan suspek melastik ke arah lori bertentangan sebelum seorang lelaki berusia 30 tahun yang merakam video tersebut tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada pukul 6.20 petang.
Katanya, suspek berusia 46 tahun itu pada mulanya dilihat menunggang motosikal sambil memegang lastik di tangan kirinya.
“Suspek yang juga seorang penganggur kemudian memberhentikan motosikalnya di hadapan kereta pengadu sebelum dia secara tiba-tiba melastik ke arah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Pengadu sempat merakam perbuatan suspek sebelum dia berkongsi dan memuat naik video kejadian itu di Facebook supaya orang ramai berwaspada,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Beliau berkata, bimbang kemungkinan berlaku perkara lebih buruk, pengadu kemudian membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.
“Susulan daripada laporan itu, sepasukan polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah di Sungai Lalang, Bedong, pada pukul 11 malam semalam,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian sebelum itu dan polis turut merampas lastik serta batu yang ditemui dalam raga motosikalnya.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, malah dia turut mempunyai dua rekod lampau bersabit kesalahan dadah.
“Ketika disiasat, suspek mendakwa yang dia mengalami halusinasi sehingga mendorongnya melakukan perbuatan terbabit (melastik) ketika kejadian,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya. –UTUSAN ONLINE