4 ditahan cuba curi buah sawit - Utusan Malaysia

4 ditahan cuba curi buah sawit

BUAH sawit yang cuba dicuri empat lelaki di pusat pengumpulan buah di Kampung Selabak, Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Cubaan empat lelaki mencuri kelapa sawit dari sebuah pusat pengumpulan buah di Kampung Selabak dekat sini tidak berhasil apabila diberkas polis hari ini.

Kesemua suspek berusia 22 hingga 42 tahun itu ditangkap ketika melarikan diri di jalan pintasan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada polis oleh pengawal keselamatan setelah melihat sebuah motosikal memasuki kawasan pusat pengumpulan itu pada pukul 4 pagi.

Katanya, motosikal tersebut bagaimanapun berpatah semula sebelum pengadu terdengar bunyi jentera memasuki kawasan berkenaan.

“Lelaki itu membuat pemeriksaan di kawasan tersebut sebelum ternampak sebuah lori dengan beberapa lelaki sedang mengambil buah sawit. Dia kemudiannya melaporkan kepada polis,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Teluk Intan pergi ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, anggota polis itu kemudian telah terserempak empat lelaki dalam keadaan mencurigakan yang sedang memasukkan buah sawit ke bahagian belakang lori.

“Anggota polis telah menghampiri lori itu untuk membuat pemeriksaan, namun, keempat-empat suspek bertindak masuk ke dalam lori untuk melarikan diri.

“Lori itu diekori sebelum berjaya ditahan di jalan pintasan ke LHDN Teluk Intan. Pemeriksaan di dalam lori menjumpai 40 tandan buah sawit seberat satu tan, dua kereta sorong dan satu batang pemotong besi,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan bersama barang rampasan termasuk sebuah lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya