Sindiket curi kereta Geng Abu Pandan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket curi kereta Geng Abu Pandan tumpas

RAMLI Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan kereta yang merupakan barang kes hasil tangkapan sindiket curi kereta Geng Abu Pandan di Stor Barang Kes Berpusat, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Geng Abu Pandan yang dipercayai aktif dalam kegiatan curi kenderaan sejak April tahun lalu, tumpas apabila lima suspek berjaya ditahan dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan polis.

Hasil serbuan dan tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Kontinjen Pahang itu, kesemua suspek merupakan lelaki dewasa berusia antara 22 tahun hingga 52 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek berkait rapat dengan kes mencuri dan menjual kenderaan pelbagai jenis yang dicuri di seluruh daerah Kuantan.

“Dalam serbuan polis pada 21 Disember lalu, polis telah menangkap seorang lelaki di tepi padang Lorong Bukit Setongkol Maju, dekat sini dan hasil soal siasat lelaki berkenaan telah mendedahkan beliau bersama tiga lagi rakannya terlibat dalam kes curi kenderaan.

“Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Abu Pandan ini telah mengaku mencuri enam buah kenderaan jenis Proton Wira, Proton Iswara, Perodua Kancil, Kia Spectra dan dua lori jenis Daihatsu dan Isuzu sejak April hingga 22 Disember lalu.

“Kerugian lapan buah kenderaan tersebut dianggarkan lebih kurang RM35,500,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga November 2021 sebanyak 71 buah kenderaan terdiri daripada 58 buah kereta dan 13 buah lori yang dilaporkan hilang.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 37 kes atau 52.11 peratus berjaya diselesaikan hasil tangkapan dan rampasan yang telah dibuat melalui Op Lejang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, modus operandi geng yang diketuai lelaki berusia 29 tahun itu dengan mencari kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan, di hadapan bengkel atau kawasan parkir kenderaan awam bersama seorang lagi suspek yang merupakan tahanan polis.

“Mereka akan memanggil seorang lagi suspek yang juga merupakan tahanan polis dan memiliki lori tunda dan menariknya ke sebuah bengkel milik tahanan lain.

“Di bengkel tersebut, kenderaan akan dilerai dan dipotong dan selepas itu, akan dijual kepada seorang pemilik kedai barang lusuh di Indera Mahkota, namun, lelaki berkenaan juga telah ditahan polis 28 Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, katanya, hasil daripada tangkapan dan operasi yang dijalankan itu, pihak polis telah berjaya merampas pelbagai jenis kenderaan.

“Selain itu, polis turut menjumpai dan merampas barang-barang kes seperti enjin lori dan juga 17 resit jualan besi kenderaan.

“Semua tahanan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lebih tujuh tahun serta denda.

“Kelima-lima suspek baharu sahaja selesai ditahan reman untuk tujuan siasatan pada 31 Disember lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya