KUANTAN: Sebuah persatuan kebajikan di Temerloh kerugian RM700, gara-gara terpedaya tindakan individu tidak bertanggungjawab meminta bantuan dengan mengaku sebagai mangsa banjir.
Petugas persatuan berusia berusia 50 tahun itu didatangi pembantunya memberitahu terdapat seorang individu hadir memohon bantuan banjir dan ketika itu mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Mentakab.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku 29 Disember lalu apabila suspek memberitahu tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, suspek juga memberitahu bahawa dia seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.
“Mangsa telah mengarahkan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Naqiah Mohd. Abdul Ghani berusia 33 tahun memberikan maklumat peribadi yang lengkap dengan mengisi borang bantuan mangsa banjir.
“Setelah selesai, mangsa segera menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada penyelaras bantuan bekalan dan mereka telah menyediakan keperluan makanan dan barangan alatan elektrik seperti pengisar makanan, kipas, periuk nasi elektrik serta keperluan rumah iaitu pengalas tidur, bantal, selimut dan sabun pencuci kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, suspek turut mendapat bantuan kewangan daripada sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“Susulan daripada penerimaan bantuan tersebut, orang ramai yang mengetahui hal tersebut mula membuat rungutan berikutan suspek diketahui bukan mangsa banjir kerana alamat yang diberikan bukan rumah miliknya.
“Mangsa segera membuat semakan lanjut dan mendapati hal itu benar dan suspek telah memperdaya bukan sahaja persatuan kebajikannya, malah, NGO lain dengan memberikan maklumat palsu untuk meminta sumbangan banjir,” katanya.
Sementara itu, katanya, mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk tindakan lanjut selain menjaga nama persatuannya.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE