JOHOR BAHRU: Sebuah kilang kosong dijadikan pusat penyimpanan rokok seludup jenis John Limited dan Mayor bernilai RM1,324,500 termasuk cukai diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin, pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 10.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang memandu keluar dari premis itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut merupakan ahli sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai yang aktif sejak tiga bulan lalu.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang diterima. Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket berkenaan menjadikan kilang kosong itu sebagai tempat penyimpanan sementara.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya membuat rampasan 5,000 karton John Limited merah, 1,150 Mayor hijau dan 1,350 Mayor merah yang dianggarkan bernilai RM195,000. Anggaran nilai cukai rokok adalah RM1,129,500,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Dimin berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace.
Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit mendapat bekalan daripada negara jiran untuk dipasarkan di bandar raya ini.
“Polis menyeru kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan menyalahi undang-undang di sekitar perairan negara terutamanya dalam menangani isu penyeludupan,” ujarnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE