TAMPIN: Lima lelaki berusia 34 hingga 59 tahun ditangkap polis bersama air dan daun ketum dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Felda Pasir Besar, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, pada pemeriksaan pukul 12.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tampin telah menjumpai sebanyak 80 botol plastik yang mengandungi air ketum.
“Turut ditemukan 10 bungkusan plastik warna hitam mengandungi daun-daun ketum yang dijumpai di sekitar kawasan rumah,” katanya hari ini.
Anuwal berkata, hasil siasatan awal mendapati air ketum tersebut untuk dijual kepada penduduk di sekitar Pasir Besar, Gemas.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis morfin.
“Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun (AR) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. -UTUSAN ONLINE