KULIM: Tindakan seorang lelaki membeli diesel di sebuah stesen minyak mini tanpa permit membawa padah apabila ditahan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim di Terap di sini hari ini.
Dalam serbuan pukul pukul 10.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 40 an yang memandu sebuah lori ditahan ketika mengisi diesel ke dalam tujuh tong drum yang berada di belakang lori terbabit.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Kulim, Mohd Fazly Edros berkata, ketika serbuan didapati sebuah lori sedang mengisi diesel ke dalam tujuh buah tong drum dan setiap satu tong drum itu boleh diisi sebanyak 200 liter.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.
“Siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli untuk kegunaan jentera di kawasan pembinaan.
“Untuk makluman, diesel yang digunakan untuk jentera bagi kerja- kerja pembinaan adalah minyak komersial yang perlu dibeli daripada pemborong yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Fazly memberitahu, lelaki itu sempat mengisi minyak yang dibeli ke dalam tujuh tong drum itu kira-kira 1,205 liter bernilai sebanyak RM2,590.
Tambahnya, kesemua barangan tersebut dirampas termasuk sebuah lori satu tan yang membawa tujuh tong drum berisi minyak diesel.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dalam serbuan itu dianggarkan berjumlah RM12,590,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. -UTUSAN ONLINE