Kes tetak, polis buru dua lelaki - Utusan Malaysia

Kes tetak, polis buru dua lelaki

DUA lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tetak dua mangsa menggunakan senjata parang di Taman Timah Jaya Site C, Port Dickson minggu lalu kini sedang dikesan polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis sedang mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tetak dua mangsa menggunakan senjata parang di Taman Timah Jaya Site C di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai V.Vithyathran, 32, beralamat di Taman Springhill dan B. Selvam, 21, dari Taman Jaya Lukut.

Jelas beliau, mereka sedang dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sebelum ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap enam lelaki di kawasan Lukut dan Port Dickson pada 16 hingga 18 Januari lalu berkaitan kes sama.

“Kesemua enam suspek ditahan susulan laporan polis dibuat pengadu iaitu seorang perempuan berusia 39 tahun memaklumkan suami dan anaknya diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang,” katanya.

Menurut Aidi Sham, dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, 16 Januari lalu, telah terdengar bunyi bising di luar rumah dan apabila keluar, didapati kenderaan suaminya yang berada di luar rumah telah dilanggar oleh sebuah motosikal dan suspek terus melarikan diri.

“Semasa pengadu dan keluarga sedang melihat kerosakan yang dialami, telah datang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang lalu menyerang pengadu dan keluarga. 

“Suaminya berusia 46 tahun dan anak 19 tahun telah mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta tangan manakala pengadu sempat melarikan diri untuk meminta bantuan jiran,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Aidi Sham berkata, suspek juga telah merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri.

“Hasil tangkapan tersebut, pihak polis telah merampas sebilah parang yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan dua buah motosikal. 

“Kesemua enam suspek yang ditahan sebelum ini berumur 17 hingga 25 tahun dan  semakan rekod lampau mendapati lima orang suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah dengan salah seorang seorang positif ganja,” katanya.

Menurut Aidi Sham, hasil siasatan mendapati semasa kejadian suspek di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya