Kastam Kelantan rampas 4 tan metrik mercun - Utusan Malaysia

Kastam Kelantan rampas 4 tan metrik mercun

MOHD. Nasir Deraman (kanan) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas JKDM Kelantan kelmarin. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas empat tan metrik mercun yang dianggarkan bernilai RM130,000 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, JKDM Kelantan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang disyaki menjadi dalang penyeludupan mercun tersebut.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, mercun jenis bola dan CN4002 disimpan dalam stor terbabit dipercayai untuk pasaran ke selatan negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ketika serbuan, suspek berada di dalam stor berkenaan yang sebelum ini digunakan untuk menyimpan stok ayam sejuk beku.

“Hasil pemeriksaan di dalam stor itu, kita menemukan 600 guni dan 15 kotak yang kesemuanya berisi mercun,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penguatkuasa JKDM Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mohd. Nasir berkata, siasatan mendapati suspek mengakui menerima upah RM500 untuk menjaga bekalan mercun di stor berkenaan.

Katanya, modus operandi digunakan adalah membawa masuk mercun secara berperingkat melalui Sungai Golok menggunakan bot ke tebing sungai sebelum dibawa ke stor berkenaan.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan, atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Mohd. Nasir juga menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1800885 atau pejabat JKDM terdekat sambil memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya