171 kertas siasatan membabitkan 314 anggota polis Pulau Pinang dibuka  - Utusan Malaysia

171 kertas siasatan membabitkan 314 anggota polis Pulau Pinang dibuka 

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang membuka sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib melibatkan 314 anggota iaitu 43 pegawai kanan: 269 pegawai rendah dan dua kakitangan awam sepanjang tahun lalu. 

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 35.71 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2020. 

Katanya, daripada 171 jumlah kertas siasatan itu, kes tatatertib adalah sebanyak 107; jenayah (33); dadah (17); tidak hadir tugas (8),  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (4) dan syariah (2). 

“Daripada 314 orang tersebut, 28 masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja. 

“Hanya setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, baru mereka ini akan berada dalam statistik hukuman, sekarang  mereka berada dalam statistik kertas siasatan tatatertib,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Padang Tembak, di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau menghadiri perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 peringkat Kontinjen Pulau Pinang. 

Menurut Mohd. Shuhaily, adalah tidak adil untuk beliau menyatakan 28 orang yang berada dalam statistik kertas siasatan tatatertib itu sudah dihukum memandangkan hanya kertas siasatan dibuka. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus sepanjang tahun 2021. 

“Ini berdasarkan nilai ambang yang dijadikan kayu pengukur yang juga digunakan oleh Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia. 

“Dalam konteks ini, jenayah harta benda adalah hanya 2,900 kes yang mana nilai ambang jenayah harta benda berjumlah 4,263 kes. Ia menyaksikan penurunan 1,303 kes iaitu sebanyak 31 peratus. 

“Selain itu, nilai ambang jenayah kekerasan ialah 1,666 kes, namun kes yang berlaku hanya sebanyak 931 kes sahaja, dan ia menurun sebanyak 12.7 peratus,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN