MELAKA: Tujuh wanita warga asing diserbu Jabatan Imigresen Melaka ketika dipercayai sedang memberikan ‘khidmat tambahan’ kepada pelanggan di sebuah pusat urut di Melaka Raya di sini, Selasa lalu.
Kesemua wanita itu antara 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi bersepadu Op Gegar selama 18 jam yang berakhir pada pukul 4.30 pagi.
Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, dalam serbuan itu, tujuh wanita warga Thailand berusia 20 hingga 35 tahun turut ditahan ketika sedang memberikan khidmat mengurut.
“Dalam serbuan siri operasi Op Gegar yang dijalankan sekitar pukul 10 malam di sebuah pusat urut, seramai tujuh wanita warga asing tidak sempat melarikan diri kerana sibuk melayan pelanggan.
“Mereka disyaki menawarkan ‘khidmat tambahan’ kepada pelanggan tetap dan pemeriksaan lanjut mendapati wanita warga asing ini bekerja tanpa permit sah, selain masuk ke Malaysia secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, seramai lapan pelanggan lelaki tempatan yang berada di lokasi turut diberikan notis (Borang 29) untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, seramai 39 PATI turut ditahan di lokasi berasingan selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 termasuk tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa.
“Mengikut pecahan, warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 31 orang lelaki, lapan perempuan dan dua kanak-kanak lelaki berumur lima tahun dan empat bulan.
“Masing-masing warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Thailand,” katanya.
Katanya, kesemua tahanan di bawa ke pusat kesihatan daerah (PKD) bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum di hantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE