PETALING JAYA: Polis memburu tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang lelaki dipercayai ditikam dalam perselisihan faham di sekitar Taman Balakong Jaya di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Serdang berkaitan seorang pesakit lelaki telah mengalami cedera parah akibat tikaman objek tajam di bahagian belakang badan.
Katanya, mangsa kemudiannya telah menjalani rawatan hampir sebulan, namun disahkan meninggal dunia pada 14 Disember lalu.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Susulan itu, kita turut menahan tiga suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zaid berkata, siasatan lanjut mendapati beberapa lagi suspek masih bebas.
Ujarnya, mereka dikenal pasti M. Shanmugavadivelu, 25; T. Vikneshvarn, 23, dan Cheong Chee Min, 27.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau individu yang dicari, boleh berhubung terus dengan mana-mana balai Polis yang berdekatan.
“Atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE