PETALING JAYA : Polis menahan lapan lelaki termasuk empat penjawat awam selepas dipercayai terbabit dengan kejadian samun wang tunai berjumlah RM1.13 juta di Jalan Chan Sow Lin, di sini, pada 14 Disember lalu.
Penahanan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat seorang lelaki yang memaklumkan dia disamun sekumpulan lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan pistol pada 7.48 malam pada 14 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian itu, pengadu berusia 22 tahun bersama rakannya menjalankan transaksi penjualan satu jam tangan berjenama milik majikannya.
“Selepas transaksi itu selesai, lelaki berkenaan bersama rakannya menuju ke tempat letak kenderaan di sebuah bangunan di Jalan Chan Show Lin untuk mengira wang tunai yang diterima daripada pembeli.
“Ketika di lokasi, kenderaan mereka ditahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang memakai ves polis serta dua motosikal dinaiki dua lelaki sebelum suspek mengacu pistol dan memperkenalkan diri sebagai polis.
“Suspek kemudian menggeledah kenderaan dinaiki mereka sebelum merampas wang tunai berjumlah RM1.13 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Muhammad Idzham, suspek sempat mengarahkan pengadu pergi ke Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut dengan mengekori pengadu sebelum mereka (suspek) menghilangkan diri.
Ujar Muhammad Idzam, susulan laporan itu, lapan lelaki berusia antara 22 hingga 42 tahun termasuk pengadu dan rakannya ditahan berasingan antara 15 hingga 17 Disember lalu di sekitar pusat bandar ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pemandu, pengawal peribadi dan penghantar barang (seorang) dan empat penjawat awam.
“Dalam serbuan itu, kami merampas sepucuk pistol, dua motosikal, dua kereta, wang tunai berjumlah RM716,800 serta beberapa barangan yang dipercayai dibeli suspek berjumlah RM223,460.
“Malah, seorang daripada suspek berusia 43 tahun dipercayai menggunakan wang berkenaan bagi melunaskan baki bayaran penuh kereta Honda Civic miliknya berjumlah RM90,970.
“Penahanan pengadu dilakukan kerana kita tidak menolak kemungkinan terdapat komplot ‘orang dalam’ yang terbabit dalam kejadian itu,” jelasnya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati semua suspek berkenaan negatif dadah.
“Semakan mendapati seorang daripada lapan suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.-UTUSAN ONLINE