SUNGAI PETANI: Polis menafikan kesahihan satu video yang tular dalam media sosial berkaitan seorang lelaki cedera parah akibat ditetak yang didakwa berlaku di Bukit Selambau di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, hasil semakan pihaknya mendapati tiada kejadian seperti itu berlaku dan tiada sebarang laporan polis diterima di mana-mana balai khususnya di Balai Bukit Selambau.
“Pihaknya mendapati penyebaran video kejadian itu telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat.
“Satu laporan polis berkaitan penyebaran video itu telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Video berdurasi 0.29 saat itu menunjukkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah putus kedua-dua belah kaki dan tangan dipercayai ditetak.
Lelaki itu diperlakukan demikian selepas ditangkap kerana didakwa mencuri lembu ternakan penduduk.
Suresh berkata, polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang video yang tiada kesahihan kerana dibimbangi akan mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada masyarakat.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Firdaus Mohd. Nasir ditalian 012-3517317 bagi membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE